Ketahui nutrisi terbaik buat kucing anda

Ketahui nutrisi terbaik buat kucing anda

Kucing juga merupakan haiwan yang sangat istimewa sehingga boleh memberikan terapi kepada pemiliknya.

Sifatnya yang manja membuatkan kucing menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan. (Gambar Rawpixel)

Kucing merupakan salah satu daripada haiwan peliharaan yang paling terkenal di dunia. Ramai yang membela kucing kerana sifat manjanya malah ia juga merupakan haiwan yang sangat istimewa sehingga boleh memberikan terapi kepada pemiliknya.

Makanan yang dimakan kucing di awal kehidupan akan menentukan kesihatan dan kesejahteraan hidupnya. Pastikan anda tahu bahan yang dimakan oleh kucing bagi memastikan ianya berkualiti dan memenuhi vitamin yang diperlukan oleh kucing anda. Setiap kali membeli makanan, baca label pada pek makanan untuk mengetahui makanan yang diberikan kepada si manja anda.

Biasanya anak kucing lebih gemar makanan yang mempunyai banyak lemak dan protin daripada kucing dewasa. Jadi carilah makanan dengan label “Nutrisi Lengkap dan Seimbang” serta kenyataan “telah teruji”. Ada juga makanan yang diformulasikan khusus untuk anak kucing. Anak kucing berusia lapan minggu ke atas sudah boleh makan makanan kering dengan cukup baik, tetapi makanan basah lebih baik untuk mereka.

Makanan dengan nutrisi yang cukup akan menjadikan kucing lebih sihat dan sentiasa aktif. (Gambar Rawpixel)

Kucing dewasa lebih menyukai makanan kering dan ia lebih baik untuk mereka. Namun kadang-kala anda boleh memberikan makanan basah sebagai variasi makanan buatnya.

Kucing juga cerewet memilih makanan dan sentiasa berhati-hati memilih makanan. Sekiranya, dia merasakan baunya berlainan, makanan tersebut akan ditolaknya.

Deria rasa yang tajam menjadikan kucing cepat mengesan makanan yang tidak segar. Kucing yang diberi makanan yang baik dan berkhasiat sentiasa aktif, mempunyai mata yang bersinar dan bulu yang berkilat.

Sumber air bersih dan segar juga penting untuk kesihatan kucing anda. Kucing sukakan rasa air mengalir yang segar.

Kucing mempunyai deria bau yang sangat tajam. (Gambar Rawpixel)

Nutrisi yang penting untuk kucing:

1. Protin

Protin diperlukan untuk tumbesaran kucing dan dapat membantu membaiki tisu-tisu dalam tubuh kucing.

2. Asid lemak

Membantu menjadikan bulu kucing berkilat dan bersinar.

3. Kalsium & Vitamin D

Membina tulang dan gigi yang kuat dan sihat.

4. Karbohidrat

Memberi tenaga dan serat dalam diet kucing.

5. Vitaman A

Diperlukan untuk mendapatkan mata yang sihat.

Hal yang perlu diberi perhatian:

  • Sentiasa pastikan bekas makanan kucing dalam keadaan bersih.
  • Jangan beri kucing anda makan makanan haiwan lain seperti makanan untuk anjing.
  • Jangan beri kucing anda makan makanan yang sudah rosak walaupun sedikit.
  • Sentiasa pantau berat kucing anda dan pastikan ia tidak diberi makan secara berlebihan.
  • Jika ingin memberi makanan segar seperti ikan dan ayam, keluarkan tulang terlebih dahulu sebelum diberikan kepada si manja anda.
  • Buang sisa-sisa makanan yang tidak dihabiskan oleh kucing.
  • Jika kucing tidak mahu makan selama 24 jam, bawa berjumpa dengan doktor haiwan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.