
Akhirnya juri buat tekanan yang tepat, Hairul Azreen adalah Ayam Jantan! The Masked Singer Malaysia Minggu Ke-5 menyaksikan Hairul Azreen tersingkir setelah identitinya dapat dikesan oleh juri tetap. ‘Signature pose’ yang sering dilakukan oleh Hairul memudahkan juri meneka identitinya dengan tepat.

Menarik lagi, Janna Nick yang merupakan juri jemputan menggantikan Ella pada minggu itu juga dapat meneka identitinya dengan tepat, kerana pernah berkerjasama dengan bintang filem Paskal itu.
Hairul Azreen berkata, dia tidak menyangka kostum yang dipakainya itu boleh menjadi kesukaan ramai terutamanya kanak-kanak, sehingga ada yang menangis ketika Ayam Jantan disingkirkan. Dia juga menerima sekiranya nama Ayam Jantan melekat sebagai panggilan.
“Penat saya naikkan nama Jerung Paskal. Tapi sekarang Ayam Jantan yang melekat. Tapi okay la saya takda masalah pun,” katanya.

Pada minggu yang kelima, program yang dihoskan oleh pengacara tersohor Datuk AC Mizal itu menyaksikan tiga selebriti di sebalik kostum Ayam Jantan, Reno, dan Wau terpaksa akur dengan pemarkahan juri yang meletakkan mereka di tiga tangga terendah.

Dengan markah terendah sebanyak 72%, Hairul Azreen yang mempersembahkan lagu Cinta Dewa Dewi (nyanyian asal kumpulan Spider) tersingkir dari program nyanyian anjuran Astro Warna itu dan mendedahkan identitinya kepada para juri dan penonton.

The Masked Singer Malaysia yang berlangsung pada setiap Jumaat dari Royal Theater Shah Alam menyaksikan 12 selebriti membuat persembahan yang dinilai 100% oleh juri-juri tetap: Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah SINAR.
Setiap minggu, hanya kemahiran vokal dan sisi kreativiti yang dipertaruhkan kerana kesemua peserta mengenakan kostum dari kepala hingga ke kaki.

Kini, tinggal 7 sahaja lagi selebriti di sebalik topeng – Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, Enggang, Reno, Rafflesia dan Bunga Raya yang akan berentap demi gelaran juara pertama The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK Magic dan Oppo selaku penaja utama.
Siapakah selebriti di sebalik topeng itu? Saksikan program penuh kejutan ini di saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam. Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]