Pantang lihat timbunan durian tepi jalan

Pantang lihat timbunan durian tepi jalan

Durian memukau mata yang melihatnya kerana keenakan, kelembutan, keharuman dan kekuningan buah yang berselindung di sebalik kulit berduri itu.

Free Malaysia Today
Gambar Bernama

Benarlah kata orang, penangan durian amat hebat.

Bagi peminat si raja buah, mereka bukan sahaja teruja bahkan ‘pantang’ melihat timbunannya dijual di tepi jalan, pasti ada yang perlahankan kenderaan sekadar untuk tengok atau berhenti dan membelinya.

“Seronok balik kampung kali ini. Sepanjang perjalanan dari Ulu Bendul ke Kuala Pilah, meriah dengan gerai buah-buahan tempatan. Durian bukit, durian kampung, durian IOI, manggis, kundang, rambutan semua ada.

“Cuma, satulah. Pemandu kereta semua, jangan leka sangat nak menengok gerai jualan semua sampai memandu dengan kelajuan 30 kilometer/jam. ‘Jem’ jalan yang sememangnya sempit itu,” rungut rakan penulis dalam laman sosial Facebook miliknya.

Entah mengapa, tetapi itulah keistimewaan buah kesukaan ramai ini. Magisnya, raja buah mampu memukau sesiapa sahaja apatah lagi peminat tegarnya.

Dan, inilah yang saya alami ketika singgah sebentar di dusun milik arwah ibu dan adik-adiknya.

Dusun kecil itu, yang hanya mempunyai 9 pohon durian, terletak di Kampung Belangkan, Rantau, Negeri Sembilan. Lokasinya di tepi jalan kecil, iaitu laluan keluar masuk ke jalan utama, membuatkan hampir kebanyakan kereta berhenti singgah.

Bukan kerana apa, tetapi disebabkan teruja melihat durian yang berbuah lebat di setiap pokok.

“Tengah cari durian ke?,” tanya seorang pemandu lori etnik India yang memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebaik melihat saya dan adik yang sedang mencari mana-mana buah yang sudah gugur.

Kalau dicatur, dia merupakan pemandu kesembilan berhenti dan bertanya mengenai buah tersebut. Boleh dikatakan, untuk tahun ini buah durian di dusun kami ‘menjadi’ berbanding tahun sebelumnya.

“Ini dusun awak ke? Saya selalu lalu sini dan banyak kali nampak orang lain ambil buah durian.

“Saya dan kawan Cina ini pun ada ambil durian di kebun awak…tapi, kami ambil yang di luar pagar,” akui pemandu lelaki berbangsa India ini sambil jarinya menunjukkan seorang rakannya berbangsa Cina yang duduk di tempat duduk lori berkenaan.

Kami menetap di Kuala Lumpur dan ibu saudara di Jasin, Melaka, dan hanya dapat mengunjungi dusun pada sesetengah hujung minggu. Mungkin sebab itu, dusun kami menjadi ‘sasaran’.

“Tidak mengapalah. Ambil sahajalah kalau ia sudah berada di luar kawasan,” kata saya kepada 2 lelaki itu sambil mereka turut membantu kami mencari durian yang gugur.

Realitinya, kami saling tidak mengenali. Tetapi, siapa sangka durian menjadi pembuka bicara kami.

Semuanya kerana keenakan, kelembutan, keharuman dan kekuningan buah yang berselindung di sebalik kulit berduri itu.

Ia pastinya menjadi kesukaan majoriti rakyat Malaysia. Tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India serta etnik lain, penggemarnya sentiasa teruja setiap kali menjelangnya musim durian.

Cuma, kegembiraan tahun ini lebih berganda berbanding tahun sebelumnya kerana lambakan bekalan durian kali ini menyebabkan penurunan mendadak harga durian di kebanyakan negeri.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak dipetik berkata, penghasilan buah durian tahun ini meningkat 3 kali ganda daripada 60,000 tan metrik tahun lepas kepada 180,000 tan metrik.

Penghasilan adalah hampir serentak di seluruh negara khususnya di Johor, Pahang, Perak, Kelantan, Melaka dan Kedah menyebabkan bekalannya banyak dan harga durian menjadi lebih berpatutan.

Keadaan ini sekali gus memberi banyak pilihan pada penggemar buah tersebut apabila pelbagai jenis durian kampung dan klon serta yang berkualiti tinggi seperti Musang King dan Udang Merah dijual pada harga lebih rendah.

Jika sebelum ini durian Musang King dijual antara RM60 hingga 80 sekilogram, tetapi menurut seorang rakan yang membeli durian itu musim ini, ia dijual hanya antara RM30 hingga RM40 sekilogram.

Dengan tarikan harga yang berpatutan itu, maka, banyaklah ‘pesta makan durian’ dianjurkan dengan kadar bayaran minimum ditetapkan untuk seorang. Pesta itu turut menyajikan hidangan lain berasaskan durian seperti aiskrim dan kek selain menyediakan tempat selesa untuk menikmatinya.

Sebelum ini, raja buah itu pasti tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis kerana baunya yang tajam dan menusuk tetapi kini, pesta makan durian banyak dianjurkan oleh pihak korporat, hotel dan pelancongan.

Malah, Kelab Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini juga tidak terkecuali menganjurkan pesta makan durian.

Dalam hal ini, durian boleh menjadi buah yang menyatukan rakyat tanpa mengira agama, kaum, budaya mahupun perbezaan politik. Mereka boleh berkumpul bersama-sama untuk menikmati keenakan raja buah.

Justeru itu, pesta makan durian dilihat menjadi medan untuk menyemarakkan semangat perpaduan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Dan, suasananya pula bersesuaian dengan sambutan Bulan Kebangsaan sepanjang 1 Ogos hingga 16 Sept ini.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam isu yang dikupas oleh penulis)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.