
Lazimnya siri pertandingan rancangan realiti penuh dengan unsur hiburan yang mencuit hati, kadang-kala mengujakan penonton.
Namun dalam episod terbaru rancangan America Got Talent (AGT) Musim ke-13 baru-baru ini kelibat seorang peserta wanita bukan sahaja menyeramkan penonton malah juri-jurinya juga.
Dikenali dengan nama ‘The Sacred Riana’, wanita yang baru berusia 26 tahun dari Indonesia ini sedang menempa namanya tersendiri apabila tampil dengan persembahan ‘bulu roma naik’ yang melibatkan silap mata dan illusi yang unik dan luar biasa.
Terbaru, Riana menyebabkan salah seorang juri AGT, Mel B lari menyelamatkan diri darinya selepas akui rakan ‘imaginasi’nya mahu bermain dengan Mel B.
Dalam helah kali ini, Riana meletakkan sebuah buku kosong di dalam peti kayu berbentuk pondok dan loceng dengan mesej di atas buku itu “Do you want to play?”.
Menariknya selepas beberapa saat loceng itu berbunyi dan Riana menunjukkan buku tersebut terconteng dengan kesan tapak tangan.
Tunggu, tak habis lagi, turut tercatat dalam buku itu ialah “I want to play with Mel B” iaitu saya mahu bermain dengan Mel B.
Ternyata detik itu membuatkan Mel B tak senang duduk, tetapi persembahan Riana belum tamat.
Di hujung persembahan, Riana menempatkan patung boneka iaitu rakan imaginasinya ke dalam peti pondok, beberapa barangan lain menunggu sehingga peti itu pecah dan muncul seorang lagi gadis yang kelihatan sama seperti Riana.
Juri AGT ketika itu sudah mengambil keputusan menghalau Riana tetapi “kembar” yang baru muncul itu enggan ke mana-mana sehinggalah Mel B keluar dari pentas ia mengikutinya dengan pesanan “saya mahu bermain dengan Mel B”.
Seram tak?
Menurut laporan beberapa portal, helah itu pernah digunakan oleh Riana sebelum ini tetapi bukan di pentas antarabangsa.
Riana merupakan seorang ahli silap mata yang terkenal di Indonesia dan pernag mengambil bahagian dalam pelbagai acara bertarag antarabangsa.
Dia juga pernah memenangi acara Asia Got Talent dan menjadi tetamu di pelbagai rancangan.
Sememangnya menjadi signatur gadis ini untuk tampil “seram” dengan identiti diri rambut panjang terurai, baju gaun lengan panjang, gaya tubuh yang tersendiri dan kurang bercakap.
Riana juga pernah diserang dengan pelbagai ugutan dan dakwaan menyembah syaitan memandangkan helah silap matanya yang menyeramkan.