
Apabila membawa anak yang aktif atau nakal, ibu bapa kenalah pantau tingkah laku mereka.
Seorang ibu terpaksa berdepan tuntutan bayaran bernilai RM528,554 (AS$132,000) selepas anaknya secara tidak sengaja memecahkan patung seni di Pusat Komuniti Tomahawk Ridge di Taman Overland, Kansas, Amerika Syarikat.
Menurut ibu kanak-kanak itu, Sarah Goodman, kejadian tersebut berlaku bulan lepas dalam satu majlis perkahwinan.
Menariknya, segala perbuatan kanak-kanak itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak itu juga memanjat dan memeluk patung tersebut sebelum ia jatuh dan pecah.
Patung tersebut bagaimanapun tidak dihalang dengan sebarang perintang atau petanda larangan.
“Saya terkejut mendengar seseorang menjerit. Patung tersebut terbaring di atas lantai dan seorang pegawai menanyakan maklumat saya,” kata Goodman.
Keluarga tersebut menerima surat dari syarikat insurans menyatakan kealpaan Goodman dalam menjaga dan memantau anaknya ketika berada berdekatan patung tersebut.
Dalam responnya, Goodman mempersoalkan sebab patung berharga itu tidak dihalang walaupun dengan tali sebaliknya dibiar terbuka.
“Ia lorong laluan utama, bukan sebuah ruang asing. Patung itu tidak dihalang, tidak dilindungi atau dikawal. Tiada satupun papan tanda menyatakan larangan,” katanya.
Jurucakap Bandaraya Overland Park, Sean Reilly pula mendakwa patung itu sememangnya tidak boleh disentuh malah menjadi tanggungjawab sosial untuk menjaga dan melindunginya.
“Ia koleksi seni yang dipinjam dan semua orang bertanggungjawab ke atasnya. Ia adalah wang awam,” kata Reilly lagi.
Bagaimanapun dalam satu laporan terbaru, syarikat insuran bersetuju membayar sepenuhnya nilai patung tersebut, menarik balik bil yang dikenakan terhadap keluarga kanak-kanak itu.