

Dakwaan yang mengejutkan itu dibuat Profesor Emeritus dan Pengarah Kehormat Institut Penyelidikan Seksualiti dan Gender Universiti Renmin China di Beijing, Pan Suiming.
Katanya, setiap 7.5 isteri di China menipu suami mereka dengan terlibat dalam hubungan gelap yang rata-rata berlaku disebabkan norma konservatif yang tidak menggalakkan perceraian.
Tambahnya, dalam satu temuramah dengan majalah berbahasa Cina, Potrait Magazine, 13.3% isteri yang mempunyai 1 atau lebih hubungan luar perkahwinan mencatat angka yang tertinggi di planet ini.
Beliau juga tidak menolak statistik kajian yang menyatakan 1 daripada 3 suami juga menipu isteri mereka sekurang-kurangnya sekali, nisbah yang jauh lebih besar dari segi jantina.
Pan berkata, penipuan dalam kalangan pasangan suami isteri meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Isteri menipu suami apabila mereka tidak dapat memenuhi kepuasan seksual, sementara suami menipu isteri sekadar untuk ‘menawan’ lebih banyak wanita,” katanya.
Bukan itu sahaja, pembelian permainan seks turut meningkat bagi kedua-dua jantina walaupun hanya 5.7% wanita mengakui bergantung kepadanya.
Pan dikenali sebagai “bapa seksologi Cina” juga penulis buku ilmiah berkaitan seksual dan mengajar subjek seks di Universiti Renmin yang terkenal di Beijing selama lebih 30 tahun.
Ahli akademik berusia 67 tahun itu juga mengasaskan Institut Penyelidikan Seksualiti dan Gender di universiti itu pada 1991.
Bagaimanapun, bukan semua orang menerima kesimpulan Pan.
Ming Li, seorang aktivis badan sokongan anti perempuan simpanan, Kumpulan Weiqing tidak bersetuju dengan penemuan kajian Pan.
“Daripada kes yang kami terima, ramai lelaki yang mempunyai masalah. Peratusan isteri menipu suami kurang dari 1/20 daripada suami yang menipu isteri.”
Pan pula akui maklumatnya itu bergantung sepenuhnya kepada 3 kaji selidik yang dilakukan oleh pasukannya mengenai hubungan seksual orang Cina moden sejak 2000.
Pada tahun pertama hanya 9% wanita yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan seksual sepanjang hidup tetapi menjelang 2015, angka itu meningkat kepada 30.5%.
“Hanya 30% pasangan China yang saling mencintai dan baki 70% tidak sebenarnya menyukai sesama mereka namun tetap terlibat dalam hubungan seks,” jelas Pan.
Berkaitan jenis sikap atau personaliti individu yang menipu, Pan tidak dapat memberi apa-apa kesimpulan.