
Polis di negeri New South Wales (NSW) pada pagi Isnin memaklumkan 16 kematian disahkan dalam tembakan itu.
Polis dalam kenyataan berkata, 14 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Mangsa korban berusia 10 hingga 87 tahun, termasuk seorang penembak.
Seramai 40 mangsa masih menerima rawatan di hospital setakat pagi Isnin, dengan lima daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Pesuruhjaya Polis NSW, Mal Lanyon dalam sidang media pada pagi Isnin berkata, dua suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun.
Menurutnya, lelaki 50 tahun yang maut di lokasi kejadian merupakan pemegang lesen senjata api dan memiliki enam senjata secara sah.
Tembakan berlaku kira-kira 6.47 petang Ahad (waktu tempatan), apabila kedua-dua suspek melepaskan tembakan ke arah sekurang-kurangnya 1,000 orang yang berhimpun di pantai itu bagi menyambut hari pertama perayaan Yahudi “Hanukkah”.
Lanyon pada malam Ahad mengisytiharkan kejadian itu serangan pengganas dan menegaskan motif serangan masih dalam siasatan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan serangan itu “kejahatan mutlak” dan Australia akan melakukan apa yang perlu bagi membanteras sentimen anti-Yahudi.
“Ia satu wabak dan kita akan membanterasnya bersama.”
Insiden tembakan pada Ahad itu paling berdarah di Australia sejak 35 maut dalam tragedi Port Arthur di Tasmania pada 1996, yang mendorong perubahan besar terhadap undang-undang pemilikan senjata api di negara itu.