Kemboja tarik diri Sukan SEA di Thailand

Kemboja tarik diri Sukan SEA di Thailand

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja berkata keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan atletnya.

logo sukan sea thailand
Kemboja pada awalnya mengesahkan penyertaan dalam 21 acara sukan pada Sukan SEA ke-33 di Thailand, sebelum dikurangkan kepada 13 sukan bulan lalu.
PHNOM PENH:
Kemboja menarik diri daripada Sukan SEA ke-33 yang sedang berlangsung di Thailand atas alasan keselamatan dan perlindungan atlet susulan ketegangan sempadan semakin memuncak.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) mengumumkan semua pasukan yang menyertai temasya itu di Thailand menarik diri daripada acara serantau berkenaan, yang dibuka secara rasmi di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Selasa malam.

“Disebabkan kebimbangan serius dan permintaan keluarga atlet kami untuk membawa pulang ahli keluarga mereka dengan segera, NOCC perlu menarik balik seluruh kontinjen kami dan mengatur kepulangan segera mereka ke Kemboja atas faktor keselamatan,” kata Setiausaha Agung NOCC, Vath Chamroeun dalam kenyataan.

Temasya itu berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

Menurut NOCC, Kemboja pada awalnya mengesahkan penyertaan dalam 21 acara sukan dengan lebih 300 atlet bertanding, namun ia dikurangkan kepada hanya 13 sukan pada akhir bulan lalu ketika ketegangan sempadan berlarutan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan akibat penarikan awal ini dan amat menghargai pemahaman serta sokongan anda,” kata Chamroeun.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand kembali tercetus baru-baru ini, membawa kepada konfrontasi ketenteraan di wilayah utara Kemboja Julai lalu.

Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu bagi menamatkan pertempuran lima hari itu.

Kedua-dua negara kemudian memuktamadkan perjanjian damai dengan memeterai Perjanjian Damai KL semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Malaysia pada 26 Okt lalu, dalam majlis disaksikan Malaysia selaku pengerusi Asean dan Amerika Syarikat.

Namun, pertempuran sempadan tercetus semula kelmarin yang memaksa ramai penduduk Kemboja tinggal di kawasan sempadan melarikan diri ke kawasan selamat.

Sekurang-kurangnya tujuh orang awam Kemboja maut dan lebih 6,000 orang dipindahkan dalam pertempuran terbaharu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.