
Ditanya bila fasa kedua itu akan bermula, Trump mengelak soalan berkenaan dan hanya berkata keadaan “berjalan dengan baik”.
“Mereka menghadapi masalah hari ini apabila bom meletup – mencederakan beberapa orang dengan teruk, mungkin membunuh beberapa orang,” katanya di Rumah Putih merujuk serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin lewat Rabu, sekali gus melanggar gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.
“Mereka memaklumkan kepada saya kejadian itu baru berlaku. Tetapi, semuanya berjalan lancar. Kita mempunyai keamanan di Timur Tengah. Orang ramai tidak menyedarinya.”
Serangan itu berlaku tidak lama selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengancam untuk “bertindak sewajarnya” susulan kecederaan beberapa askar dalam pertempuran dengan pejuang Palestin di Rafah.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi pembebasan tahanan Palestin. Pelan berkenaan turut merangkumi usaha membangunkan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 meragut lebih 70,000 nyawa – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 171,000 mangsa.