Mangsa kebakaran Hong Kong cecah 151 orang, 13 ditahan

Mangsa kebakaran Hong Kong cecah 151 orang, 13 ditahan

Jurucakap polis Tsang Shuk-yin berkata, angka kematian dijangka meningkat.

CHINA HONG KONG FIRE
Orang ramai memandang sisa kebakaran pangsapuri Tai Po selepas api dipadam. (Gambar EPA Images)
HONG KONG:
Pihak berkuasa menahan 13 orang berkait kebakaran paling teruk yang meragut 151 nyawa minggu lalu, dengan angka kematian dijangka terus meningkat.

Penyiasat menahan suspek atas siasaan menyebabkan kematian tanpa niat bunuh, dalam pada mereka cuba mendalami punca api marak dengan begitu cepat di kompleks pangsapuri itu.

Antara faktor yang dilihat menyumbang kepada nahas itu termasuk penggunaan panel stirofoam dan perancah buluh dalam projek pengubahsuaian di lokasi berkenaan.

Pihak berkuasa turut mengumumkan pada Isnin, jaringan digunakan di beberapa bahagian perancah tidak memenuhi tahap piawaian kalis api.

Jurucakap polis Tsang Shuk-yin memberitahu sidang media, angka kematian direkodkan seramai 151 orang setakat 4 petang (waktu tempatan).

“Kami tidak dapat menolak kemungkinan angka kematian terus meningkat,” katanya.

Kebakaran Wang Fuk Court di daerah Tai Po itu adalah kebakaran bangunan kediaman paling teruk dunia sejak 1980. Polis telah selesai membuat pemeriksaan di lima daripada lapan blok pangsapuri berkenaan.

Tsang berkata segelintir mayat hanya tinggal abu dan ada kemungkinan ada mangsa dilaporkan hilang tidak dapat dikenal pasti langsung. Sisa mayat ditemui dalam unit pangsapuri, di kawasan laluan serta kawasan tangga.

Dua belas lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 77 tahun ditahan bagi siasatan menyebabkan kematian tanpa niat bunuh, menurut Pengarah Jenayah dan Keselamatan Polis Hong Kong, Chan Tung dalam sidang media lain.

Media tempatan turut melaporkan polis menahan tiga orang bagi kesalahan hasutan termasuk pelajar berusia 24 tahun, Miles Kwan yang mengedarkan risalah mendesak kerajaan bertanggungjawab atas kebakaran berkenaan.

Ketua Keselamatan Hong Kong Chris Tang berkata penahanan dibuat melibatkan kenyataan tidak tepat disebarkan dalam talian, bertujuan mengancam keselamatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.