3 budak antara 4 maut ditembak di California

3 budak antara 4 maut ditembak di California

Pihak berkuasa menyifatkannya 'insiden disasarkan' ketika penyiasat meneliti semua kemungkinan, termasuk kaitan dengan kumpulan samseng.

Menurut Arkib Keganasan Senjata, 504 insiden tembakan besar-besaran berlaku di AS tahun ini, dengan setiap kes membabitkan sekurang-kurangnya empat mangsa ditembak. (Gambar EPA Images)
LOS ANGELES:
Empat maut ditembak termasuk tiga kanak-kanak, manakala 11 lagi cedera dalam sebuah majlis hari jadi di California pada lewat Sabtu, pihak berkuasa menyifatkannya ‘insiden disasarkan’.

Tembakan itu berlaku dalam sebuah dewan bankuet di Stockton, timur laut San Francisco, sejurus sebelum 6 petang (0200 GMT Ahad), kata jurucakap Pejabat Syerif daerah San Joaquin, Heather Brent dalam sidang media.

Beliau memberita AFP pada Ahad, empat mangsa korban berusia lapan, sembilan, 14 dan 21 tahun.

Sebelas mangsa cedera dihantar ke hospital, katanya tanpa memberi butiran lanjut mengenai kecederaan mereka.

Menurutnya, 100 hingga 150 orang menghadiri majlis itu ketika kejadian.

“Petunjuk awal mencadangkan ia mungkin insiden disasarkan.”

Ditanya jika tembakan itu ada kaitan kumpulan samseng, Brent berkata, penyiasat sedang meneliti semua kemungkinan.

Pejabat syerif menyeru individu mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan untuk tampil membantu siasatan.

Brent berkata, tiada suspek dikenal pasti atau ditangkap setakat ini dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia membabitkan beberapa penembak.

Gabenor California, Gavin Newsom sudah diberi taklimat berhubung insiden tembakan itu.

Menurut Arkib Keganasan Senjata, 504 tembakan besar-besaran berlaku di Amerika Syarikat tahun ini, termasuk kejadian terbaharu di Stockton. Tembakan besar-besaran membabitkan sekurang-kurangnya empat mangsa ditembak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.