2 kru feri terkandas di Korea Selatan ditahan atas kecuaian

2 kru feri terkandas di Korea Selatan ditahan atas kecuaian

Pengawal pantai berkata dua individu itu menunggu terlalu lama untuk membatalkan mod pandu auto menyebabkan feri terbabit melanggar sebuah pulau tidak berpenghuni.

Feri Queen Jenuvia II seberat 26,546 tan terkandas ketika menghampiri Mokpo, dengan semua 267 penumpang dan kru diselamatkan. (Gambar EPA Images)
SEOUL:
Pegawai pertama dan seorang kru warga Indonesia sebuah feri terkandas semalaman dekat pesisir barat daya Korea Selatan ditahan kerana disyaki melakukan kecuaian besar.

Dua jurumudi itu disyaki menunggu terlalu lama untuk membatalkan mod pandu auto menyebabkan feri terbabit melanggar sebuah pulau tidak berpenghuni di laluan sibuk ketika ia menghampiri pelabuhan barat daya Mokpo, kata pengawal pantai Korea Selatan.

Queen Jenuvia II seberat 26,546 tan yang boleh membawa 1,010 penumpang dan dilengkapi pelbagai dek untuk kenderaan kargo serta penumpang, terkandas ketika menghampiri Mokpo dari pulau selatan Jeju, tetapi kekal dalam keadaan tegak ketika semua 267 penumpang dan kru diselamatkan.

Insiden ini mengingatkan Korea Selatan kepada tragedi feri Sewol pada 2014 yang mengorbankan lebih 300 orang, kebanyakannya pelajar dalam lawatan sekolah. Sewol karam di kawasan sama, tetapi lebih jauh ke laut.

Penyiasat pengawal pantai di Mokpo, Kim Hwang-gyun, berkata kru Queen Jenuvia II memberi keterangan bercanggah.

“Apa pun keterangan mereka setakat ini, kita sedang meneliti faktor kecuaian besar,” katanya.

Pegawai pertama dalam keterangan awalnya berkata, beliau sedang menonton berita di telefon bimbitnya ketika kejadian.

Kim berkata, siasatan itu akan termasuk pemeriksaan forensik telefon kru, data navigasi feri dan kawalan trafik kapal di perairan terbabit.

Pengendali feri itu, Seaworld tidak menjawab panggilan untuk mengulas.

Beberapa penumpang menerima rawatan, tetapi tiada kehilangan nyawa dilaporkan dan feri mengalami kerosakan kecil pada badan kapal, kata pengawal pantai.

Menurut Kim, feri itu tidak menyimpang dari haluan dan belayar pada kelajuan 22 knot (40 km/j) mengikut peraturan apabila ia gagal membelok.

Pihak berkuasa akan memeriksa sama ada kapal itu tidak dapat menukar haluan tepat pada masa di perairan sempit.

Kapal biasanya dikemudi secara manual, bukannya menggunakan mod pandu auto di perairan sempit yang dikelilingi pulau kecil dekat pantai, menurut pengawal pantai, Choi Jae-gon.

“Disebabkan ia kawasan pantai yang sempit, ia adalah laluan yang memerlukan navigasi teliti.:

Menurut pegawai, kru feri itu tidak mabuk ketika kejadian.

Feri itu ditunda ke pelabuhan bandar Mokpo dengan kesan kemek pada permukaan kelulinya dan calar pada badan kapal, menurut gambar ditunjukkan pengawal pantai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.