
Insiden turut menjejaskan perkhidmatan dua kereta api tempatan.
Menurut kenyataan Keretapi Negeri Thailand (SRT) kejadian berlaku pada 6.33 pagi berhampiran suis landasan selatan stesen berkenaan.
“Laporan awal menunjukkan dua anggota tentera yang bertugas di kawasan itu cedera.
“Pasukan keselamatan kini mengawal lokasi kejadian dan sedang menjalankan siasatan terperinci,” menurut kenyataan SRT yang dimuat naik di akaun rasmi X.
Bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan, SRT memaklumkan operasi kereta api di wilayah Narathiwat diselaraskan sementara waktu.
Tren No. 448 dari Sungai Kolok ke Surat Thani ditamatkan di Stesen Tanyong Mat di daerah Rangae, manakala Tren No. 453 dari Yala ke Sungai Kolok dihentikan di Stesen Rueso.
“Bagi perkhidmatan kereta api lain di wilayah selatan, SRT sedang menilai situasi dengan kerjasama agensi keselamatan dan akan memaklumkan perkembangan operasi secepat mungkin,” katanya.
SRT turut menyatakan bahawa insiden keganasan itu menyebabkan kerosakan harta kerajaan dan boleh menjejaskan perkhidmatan awam.
“SRT akan bekerjasama rapat dengan pihak tentera serta agensi berkaitan bagi memeriksa dan membaiki landasan yang rosak agar operasi kereta api dapat disambung semula secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, SRT menasihatkan semua petugasnya agar berhati-hati dan mengelak daripada memasuki kawasan berisiko tinggi kecuali jika perlu.