Takaichi dipilih ketuai LDP, buka laluan jadi PM wanita pertama Jepun

Takaichi dipilih ketuai LDP, buka laluan jadi PM wanita pertama Jepun

Sanae Takaichi memperoleh 185 undi dalam pusingan penentuan berbanding 156 undi diraih Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi.

Sanae Takaichi dijangka dipilih perdana menteri Jepun seterusnya pada sidang Parlimen khas sekitar 15 Okt ini memandangkan gabungan minoriti parti pemerintah kekal blok terbesar. (Gambar EPA Images)
TOKYO:
Bekas menteri hal ehwal dalam negeri, Sanae Takaichi membuka laluan untuk menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pusingan penentuan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Menggantikan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba yang berundur, Takaichi, 64, turut menjadi wanita pertama menyandang jawatan tertinggi parti pemerintah itu. Pendirian agresifnya dalam diplomasi dan keselamatan dijangka mencetuskan pergeseran baharu dengan negara jiran Asia seperti China dan Korea Selatan.

Takaichi memperoleh 185 undi dalam pusingan penentuan berbanding 156 undi diraih Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi. Dalam pusingan pertama, lima calon termasuk Takaichi, Koizumi dan Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi dilihat sebagai pesaing utama.

Pemilihan kepimpinan itu berlangsung di tengah-tengah ketidaktentuan politik semakin meningkat selepas gabungan dengan sekutunya, parti Komeito, kehilangan majoriti dalam kedua-dua dewan di Parlimen – keadaan pertama seumpamanya sejak LDP ditubuhkan pada 1955.

“LDP menandakan era baharu,” kata Takaichi, yang dikenali ahli politik konservatif tegar, selepas dipilih. Beliau berikrar parti yang hampir 70 tahun berkuasa itu akan menukar “kebimbangan rakyat kepada harapan”.

Takaichi berkongsi pandangan dengan bekas perdana menteri, mendiang Shinzo Abe yang mengekalkan pendirian nasionalis. Lawatan berkalannya ke Kuil Yasukuni yang dikaitkan dengan perang dan penuh kontroversi sering mengundang kritikan keras Beijing serta Seoul.

Pada sidang media pertamanya sebagai ketua LDP hanya beberapa jam selepas pemilihan, Takaichi tidak menyatakan komitmen untuk terus melawat Yasukuni, sebaliknya berkata beliau akan membuat keputusan “sewajarnya” sebagai langkah yang mengambil kira sensitiviti China dan Korea Selatan.

Tegasnya, upacara keagamaan di kuil Tokyo itu “tidak patut dijadikan isu diplomatik”.

Mengenai rangka kerja gabungan, Takaichi berkata, persetujuan dasar diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan parti baharu, sambil menyeru kerjasama pihak pembangkang bagi merangka langkah berkesan menangani inflasi yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Mengenai potensi barisan kepimpinan LDP, Takaichi membayangkan beliau akan melantik empat calon dalam pemilihan presiden parti itu sebagai menteri utama atau pegawai kanan parti.

Katanya, beliau percaya tiada masalah untuk melantik Ahli Parlimen LDP terbabit skandal dana politik ke jawatan Kabinet atau parti.

Tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sehingga September 2027, melengkapkan baki penggal asal Ishiba selama tiga tahun selepas beliau berundur.

Beliau dijangka dipilih perdana menteri seterusnya pada sidang Parlimen khas sekitar 15 Okt ini memandangkan gabungan minoriti itu kekal blok terbesar dan parti pembangkang masih berpecah.

Takaichi juga menyuarakan kesediaan meningkatkan penerbitan bon kerajaan bagi membiayai langkah merangsang pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga berhasrat memperketatkan tapisan pelaburan asing bagi melindungi keselamatan ekonomi, selain memperkenalkan peraturan lebih ketat terhadap pelanggaran visa dan pembelian tanah oleh warga asing bukan pemastautin.

Dasar berkaitan warga asing menarik perhatian umum dalam pilihan raya Dewan Kaunselor 20 Julai lalu, yang menyaksikan peningkatan sokongan kepada parti pembangkang dengan slogan “Japanese First”.

Takaichi turut berdepan cabaran peribadi. Beliau menjaga suaminya yang lumpuh akibat strok, selain berkongsi pengalamannya sendiri gagal mengesan simptom menopaus hingga tidak merawatnya yang menyebabkan artritis reumatoid dan akhirnya memerlukan sendi tiruan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.