Bau durian cetus siri kecemasan di bandar Jerman

Bau durian cetus siri kecemasan di bandar Jerman

Bau buah berkenaan disalah anggap akibat kebocoran gas.

durian
Bomba kenal pasti sebuah pasar raya Asia menempatkan durian di mana bau buah itu tersebar melalui sistem pengudaraan bangunan. (Gambar Bernama)
MAINZ:
Bau durian yang kuat mencetuskan beberapa siri operasi bomba di bandar Wiesbaden, barat Jerman, apabila pasukan itu dipanggil empat kali kerana kebimbangan orang ramai mengenai kebocoran gas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bau durian dari Asia Tenggara seumpama bau gas.

Pada petang Sabtu, bomba dimaklumkan mengenai laporan sebuah pusat beli-belah yang mempunyai bau gas. Alat pengukuran mereka bagaimanapun tidak mengesan kehadiran gas, malah bangunan itu tiada sambungan gas.

Pada awal malam, perkhidmatan kecemasan dipanggil ke pasar itu sekali lagi, dengan bau gas dapat dihidu sekali lagi. Semasa mencari di beberapa kedai berhampiran, anggota bomba dilaporkan menemui buah berkenaan di sebuah pasar raya Asia. Sistem pengudaraan pusat beli-belah itu berkemungkinan menyebarkan bau ke seluruh bangunan, menurut mereka.

Dalam satu lagi operasi di sebuah bangunan kediaman lewat malam Sabtu, bomba mendapati sebiji durian menjadi pencetus bau gas di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.