3 maut lori tangki LPG meletup di Mexico

3 maut lori tangki LPG meletup di Mexico

Sekurang-kurangnya 70 lagi cedera selepas sebuah lori tangki gas petroleum cecair meletup di Mexico City.

Pasukan bomba giat memadam api selepas sebuah lori tangki LPG terbalik dan meletup di Mexico City pada Rabu. (Gambar EPA Images)
MEXICO CITY:
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada pada Rabu berkata tiga maut dan sekurang-kurangnya 70 lagi cedera selepas sebuah lori tangki gas petroleum cecair (LPG) meletup di ibu negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Lori tangki itu, yang mempunyai kapasiti 49,500 liter, terbalik di bawah jejambat lebuh raya di daerah Iztapalapa sebelum meletup, menurut pihak berkuasa tempatan.

Brugada memuat naik senarai “awal” 70 orang yang sedang menerima rawatan di beberapa hospital dengan 19 daripadanya mengalami kecederaan serius.

Menurut laporan rasmi, pemandu lori tangki itu juga cedera parah dan dirawat di hospital. Kanak-kanak turut menjadi mangsa, termasuk sekurang-kurangnya seorang bayi.

Brugada memaklumkan 18 kenderaan rosak dan kenderaan yang meletup itu milik Gas Silza, anak syarikat Tomza Group – konglomerat pengedaran LPG terbesar di Mexico.

Pejabat Peguam Negara memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.