Genosid Israel ragut 61,000 rakyat Gaza

Genosid Israel ragut 61,000 rakyat Gaza

Jumlah mangsa cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2003 meningkat 150,671.

Gaza aid AP 020625
Sejak 24 jam lalu, 52 rakyat Palestin terbunuh dan 352 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya 61,020 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, termasuk 188 yang meninggal dunia akibat kebuluran, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan.

Dalam kenyataan, kementerian memaklumkan 87 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 644 cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera dalam serangan Israel meningkat kepada 150,671.

Kementerian itu turut melaporkan lapan lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah korban akibat kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 188, termasuk 94 kanak-kanak.

Ia turut menyatakan 52 rakyat Palestin terbunuh dan 352 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban ketika mendapatkan bantuan meningkat kepada 1,568, dengan lebih 11,230 lain cedera, sejak 27 Mei.

Pada Jumaat, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memberi amaran kanak-kanak di Gaza sedang mati pada kadar ‘yang tidak pernah berlaku sebelum ini’ susulan kebuluran dan keadaan semakin merosot akibat perang Israel.

Menurut anggaran Program Makanan Sedunia (WFP), seorang daripada setiap empat rakyat Palestin di Gaza kini berdepan keadaan seperti kebuluran, manakala 100,000 wanita dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.

Tentera Israel menyambung semula serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac dan sejak itu telah membunuh 9,519 serta mencederakan 38,630 yang lain, sekali gus menggagalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan berkuat kuasa pada Januari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.