
TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun pada Rabu mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai Pasifik negara itu susulan gempa bumi bermagnitud 8.7 yang melanda perairan dekat Semenanjung Kamchatka, Rusia, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa itu berlaku 126km ke timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman 18.2km.
Setakat ini, belum diketahui sama ada terdapat kerosakan atau kecederaan di wilayah timur jauh Rusia.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, tsunami sehingga 3m mungkin melanda pantai di Hokkaido, utara Jepun dan Kepulauan Ogasawara di selatan negara itu.
Agensi itu turut memaklumkan gegaran pada tahap dua skala intensiti seismik Jepun (maksimum tujuh) turut direkodkan di Hokkaido.