2 maut talian elektrik terputus cetus panik di kuil

2 maut talian elektrik terputus cetus panik di kuil

Seramai 19 mangsa cedera dalam rempuhan akibat panik selepas talian elektrik terputus disebabkan monyet.

Ahli keluarga berada di luar hospital yang merawat mangsa cedera dalam rempuhan di sebuah kuil di Haridwar, India. (Gambar AP)
LUCKNOW:
Sekurang-kurangnya dua maut susulan panik yang berpunca daripada talian elektrik terputus di luar sebuah kuil di negeri Uttar Pradesh, utara India.

Pemangku Majistret Daerah, Shashank Tripathi berkata, sekumpulan monyet melompat atas talian elektrik di luar Kuil Ausaneshwar Mahadev di daerah Barabanki menyebabkan ia terputus dan jatuh atas sebuah bangsal yang mencetuskan panik.

Menurutnya, 19 mangsa cedera direnjat elektrik.

“Dua terbunuh hari ini dalam keadaan mirip rempuhan (di kuil),” kata seorang pegawai polis kanan enggan dinamakan.

Ketua pegawai perubatan tempatan berkata, kejadian berlaku sekitar 2 pagi (2030 GMT Ahad), ketika beberapa orang di kuil “tersentuh” talian elektrik terputus yang mencetuskan panik.

Kemalangan membabitkan orang ramai sering berlaku dalam perhimpunan keagamaan di India akibat pengurusan lemah khalayak.

Sekurang-kurangnya 30 maut ketika sambutan perayaan Maha Kumbh di Prayagraj, Uttar Pradesh pada Januari lalu apabila jutaan penganut Hindu berkumpul untuk ritual mandi suci di sungai.

Enam maut dalam rempuhan di Haridwar, Uttarakhand pada Ahad lalu ketika orang ramai berhimpun untuk bersembahyang di Kuil Mansa Devi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.