
Ini susulan hari kedua ketegangan yang semakin memuncak di sempadan Thailand-Kemboja yang dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.
Timbalan Jurucakap Tentera Laut Thailand Laksamana Muda Paratch Rattanachaipan menjelaskan, pelaksanaan undang-undang tentera di sebahagian wilayah Chanthaburi dan Trat bertujuan memberikan kuasa undang-undang penuh kepada pihak tentera untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman, sambil memberi jaminan kepada orang awam bahawa kehidupan harian boleh diteruskan seperti biasa.
Katanya, ketegangan yang semakin meningkat di sepanjang sempadan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di kawasan terbabit.
“Sebagai tindak balas, Pemerintahan Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat menggunakan kuasa di bawah Akta Undang-Undang Tentera 1914 untuk melaksanakan undang-undang tentera di beberapa daerah pedalaman di Chanthaburi dan Trat.
“Langkah ini membolehkan anggota tentera melaksanakan tugas penting secara sah, termasuk menetapkan zon selamat untuk orang awam,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh panglima Pemerintahan Pertahanan Sempadan bagi Chanthaburi dan Trat susulan perkembangan semasa di kawasan terbabit.
Paratch turut menegaskan, penduduk di daerah yang terlibat boleh meneruskan kegiatan harian seperti biasa, sebagaimana yang berlaku di kawasan lain yang pernah dikenakan undang-undang tentera sebelum ini.
Undang-undang tentera ialah pelaksanaan pemerintahan ketenteraan ke atas penduduk awam buat sementara waktu.
Lazimnya, undang-undang tentera dilaksanakan ketika darurat, peperangan atau ketidaktenteraman awam yang serius, apabila pihak berkuasa awam tidak lagi mampu mengawal keselamatan dan ketenteraman.
Pasukan tentera Thailand dan Kemboja bertempur awal Khamis di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh mencetuskan pusingan keganasan terbaru.
Konfrontasi ini menyusuli pertempuran sebelum ini berhampiran kawasan Kuil Preah Vihear pada 28 Mei yang menyaksikan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.
Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam ketegangan diplomatik dan ketenteraan berulang kali berhubung pertikaian sempadan yang berlarutan, khususnya di sekitar kawasan Kuil Bersejarah Preah Vihear.