
Menurut Agency Kampuchea Press milik kerajaan, hubungan itu diturunkan ke tahap Second Chargé d’Affaires.
Kakitangan diplomatik Kemboja yang berpangkalan di Bangkok akan dipanggil pulang.
Misi diplomatik Thailand di Phnom Penh turut diarahkan mengambil tindakan sama, menurut laporan itu.
Tindak balas diplomatik Kemboja itu berlaku selepas Bangkok pada Rabu memutuskan untuk menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja susulan letupan periuk api yang mencederakan beberapa tenteranya.
Lima anggota tentera Thailand cedera dalam letupan periuk api di Kampung An Se, daerah Choam Khsant, wilayah Preah Vihear, Kemboja pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Kemboja menolak dakwaan Thailand dan menyifatkannya tidak berasas.
Pada 16 Julai lalu, tiga anggota tentera Thailand cedera ketika meronda kawasan sempadan dekat wilayah Preah Vihear, menurut laporan media Thailand.
Kemboja dan Thailand terbabit pertikaian diplomatik sejak 28 Mei lalu, susulan pertempuran sempadan antara anggota tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan Preah Vihear dipertikaikan.
Seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden tembakan itu.
Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempertikaikan sempadan sepanjang 817km yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan isu berkenaan terus menjejaskan hubungan diplomatik Kemboja serta Thailand.