Sindiket dagang bayi tumpas, polis Indonesia selamatkan 6 bayi

Sindiket dagang bayi tumpas, polis Indonesia selamatkan 6 bayi

Polis menahan 12 suspek memainkan pelbagai peranan dalam sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa yang dipercayai beroperasi sejak 2023.

baby bayi
Polis Indonesia berkata seorang suspek memberitahu lima bayi diselamatkan itu dijadualkan untuk dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu. (Gambar Rawpixel)
JAKARTA:
Polis Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa dipercayai beroperasi sejak 2023 dengan menyelamatkan enam bayi dan menahan 12 suspek dalam operasi besar-besaran merentas beberapa wilayah.

Menurut polis, lima bayi ditemui di Pontianak, Kalimantan Barat dan dibawa ke ibu pejabat polis Jawa Barat, manakala seorang lagi bayi diselamatkan di kawasan Jakarta Raya.

Jurucakap polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, berkata suspek memainkan pelbagai peranan dalam sindiket itu, termasuk merekrut bayi masih dalam kandungan, menjaga mereka serta memalsukan dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport.

“Kumpulan ini turut mengatur penghantaran bayi berkenaan, yang dipercayai untuk tujuan pengambilan anak angkat secara haram di Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas dokumen pengenalan diri palsu, pasport dan surat pemilikan.

Pengarah Siasatan Jenayah Am Jawa Barat dikenali Surawan berkata, seorang suspek memberitahu lima bayi diselamatkan itu dijadualkan untuk dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.

“Seorang lagi bayi diselamatkan di Tangerang, wilayah Banten empat hari lalu,” katanya sambil menambah ibu kandung bayi dibayar IDR11 juta hingga IDR16 juta (kira-kira USD740 hingga USD1,070).

Siasatan itu bermula selepas seorang ibu membuat laporan penculikan bayi yang membawa kepada penemuan rangkaian pemerdagangan bayi dipercayai berasal dari pelbagai kawasan di Jawa Barat.

Polis kini bekerjasama dengan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Polis Indonesia bagi menyiasat kemungkinan kaitan rentas sempadan dalam kegiatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.