Iran boleh sambung pengayaan uranium dalam beberapa bulan, kata ketua IAEA

Iran boleh sambung pengayaan uranium dalam beberapa bulan, kata ketua IAEA

Kenyataan Rafael Grossi itu bertentangan keyakinan Donald Trump mendakwa program nuklear Tehran perlu bertahun kembali pulih selepas serangan AS.

gambar satelit kerosakan isfahan
Tahap kerosakan akibat serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran minggu lalu masih belum jelas. (Gambar EPA Images)
BERLIN:
Tehran boleh menyambung semula pengayaan uranium dalam beberapa bulan walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa program nuklear Iran terjejas sehingga memerlukan beberapa tahun untuk dipulihkan akibat serangan, kata Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi kepada penyiar AS, CBS News, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Keupayaan yang mereka miliki masih ada. Mereka boleh mempunyai – dalam tempoh beberapa bulan, saya katakan – beberapa ‘mesin pengayaan uranium’ yang beroperasi dan menghasilkan uranium diperkaya,” kata Grossi dalam temu bual.

Tahap kerosakan akibat serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran minggu lalu masih belum jelas.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberitahu penyiar negara IRIB, serangan itu telah menyebabkan kerosakan ‘signifikan’ terhadap infrastruktur nuklear negara itu.

Namun, dalam temu bual yang dirakam pada Jumaat, Grossi memberitahu CBS bahawa ‘sejujurnya, tidak boleh dikatakan bahawa segala-galanya telah lenyap dan tiada apa-apa yang tinggal’.

Beliau berkata, IAEA pada dasarnya berminat untuk mengesan uranium diperkaya di Iran dan memaklumkan agensi itu telah bertahun-tahun mempersoalkan mengapa mereka menemukan kesan uranium yang diperkaya di pelbagai lokasi.

“Dan kami tidak mendapat jawapan yang boleh dipercayai. Jika bahan itu wujud – di manakah bahan ini? Jadi mungkin ada lebih banyak lagi. Kami tidak tahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.