
Di wilayah Tarn-et-Garonne, selatan Perancis, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dihempap sebatang pokok tumbang dekat anak sungai ketika dia bersama keluarganya cuba menyelamatkan diri, menurut laporan stesen penyiaran BFMTV memetik perkhidmatan kecemasan.
Di sebuah kampung di barat laut negara itu, seorang penunggang kenderaan ATV maut selepas melanggar pokok tumbang yang menghalang laluan, lapor penyiar Ici.
Kelajuan angin sehingga 120kmsj mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca buruk ke atas 57 wilayah.
Pasukan kecemasan dilaporkan berdepan ratusan panggilan bantuan, manakala lebih 100,000 isi rumah terputus bekalan elektrik buat sementara.
Di Paris, Perdana Menteri, François Bayrou menggesa penduduk di kawasan terjejas berwaspada.
Angin kencang turut direkodkan di puncak Menara Eiffel dengan kelajuan 112kmsj, manakala hujan lebat menyebabkan beberapa stesen metro dinaiki air dan mengganggu aliran trafik.
Dalam tempoh hanya 20 minit, suhu di Paris menurun sebanyak 11 darjah Celsius.