
Tentera Israel memberi amaran supaya orang awam di Iran meninggalkan kawasan tertentu demi keselamatan mereka, seterusnya membayangkan kemungkinan serangan udara akan semakin rancak dilaksanakan.
Pihak berkuasa Iran menolak amaran berkenaan sebagai “perang psikologi” dan menggesa rakyatnya tidak panik, namun rangkaian televisyen kebangsaan menyiarkan rakaman memaparkan kesesakan lalu lintas teruk di jalan-jalan menuju keluar dari ibu negara itu.
“Kami tiada tempat untuk dituju. Ke mana harus kami pergi? Berapa lama patut kami meninggalkan kediaman kami?” kata Shahriyar, 38, yang dihubungi menerusi telefon.
Guru seni, Rshia, 29, memberitahu Reuters keluarganya akan menuju ke bandar Damavand, kira-kira 50km di timur Tehran, sehingga konflik reda.
“Ibu bapa saya ketakutan. Serangan berlaku setiap malam, tiada siren amaran, dan tiada tempat perlindungan yang boleh kami tuju,” katanya.
Serangan berkenaan meningkatkan ketakutan di seluruh Republik Islam itu dengan kekurangan langkah keselamatan dan tempat perlindungan bom sewajarnya.
Kerajaan berkata pada Ahad bahawa masjid, sekolah dan stesen kereta api bawah tanah akan dibuka 24 jam untuk dijadikan tempat perlindungan sekiranya serangan berlaku.
“Tiada siren amaran, tiada tempat perlindungan untuk kami tuju. Kini lebih teruk, kami tidak boleh mengeluarkan wang daripada mesin ATM atau bank,” kata Gholamreza Mohammadi, 48, kakitangan kerajaan di Tehran.
“Sukar untuk menyewa rumah di luar Tehran. Harga makanan juga melonjak kerana peruncit menaikkan harga barangan.
“Saya terdesak. Dua anak saya ketakutan dan tidak dapat tidur malam kerana bunyi letupan. Namun kami tiada tempat untuk dituju jadi berlindung di bawah meja makan,” katanya.
Angka kematian di Iran kini 224 orang, dengan orang awam merangkumi 90% mangsa, menurut seorang pegawai. Di Israel 24 orang – kesemuanya orang awam – maut akibat serangan balas Iran.
NetBlocks, agensi bebas yang menjejak aliran internet, melaporkan penurunan hampir 50% dalam akses internet antarabangsa untuk rakyat Iran.
Sementara itu, ramai penduduk meninggalkan Tehran sepanjang malam selepas beberapa daerah bandar itu dibedil peluru berpandu.
“Semalam lebih teruk berbanding sebelumnya. Letupan demi letupan… Ramai rakan kami meninggalkan Tehran pagi ini.
“Kami juga akan pergi, tetapi mahu cuba mendapatkan sedikit wang tunai di bank,” kata Maryam, 33, seorang guru.
Seorang penduduk kejiranan Ekbatan berkata sebuah bank meletakkan had pengeluaran 150 juta rial (USD160), tetapi kebanyakan hanya membenarkan pengeluaran 30 juta rial (USD32) kerana bimbang premis kehabisan wang.
Tiga peruncit di Tehran berkata penduduk menyimpan bekalan makanan dan tong gas untuk memasak, selain bekalan air. Seorang ahli farmasi juga berkata premisnya diserbu pelanggan.