Kes 1MDB: Bekas pegawai bank Goldman Leissner dipenjara 2 tahun

Kes 1MDB: Bekas pegawai bank Goldman Leissner dipenjara 2 tahun

Bekas pengerusi bank AS di Asia Tenggara itu sangat kesal dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Tim Leissner
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Timothy Leissner (kiri) tiba di Mahkamah Daerah AS di New York untuk keputusan hukuman. (Gambar AFP)
NEW YORK:
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh sebuah mahkamah di sini pada Khamis atas peranan pentingnya dalam skandal berbilion dolar 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan USD4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB menerusi skandal membabitkan pegawai tinggi dana itu, bekas perdana menteri Najib Razak, eksekutif Goldman dan pihak lain.

Leissner, bekas pengerusi Goldman di Asia Tenggara, mengaku bersalah pada 2018 atas konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan terbabit konspirasi pengubahan wang haram, semuanya ada kaitan peranannya dalam skandal 1MDB.

Hakim Margo Brodie ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan tindakan Leissner “kurang ajar dan berani”., Walaupun mengambil kira kerjasamanya dengan kerajaan, ia tidak dapat menebus kemudaratan disebabkan rasuah peringkat tertinggi di beberapa negara.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya sangat kesal dengan perbuatan saya,” kata Leissner, 55, ketika membaca keterangannya dalam mahkamah.

Goldman membantu menjual bon USD6.5 bilion untuk 1MDB, yang ditubuhkan Najib dengan bantuan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Sebahagian dana itu dialihkan ke akaun bank luar pesisir dan syarikat palsu dikaitkan dengan Jho Low yang diburu pihak berkuasa.

Leissner menjadi saksi kerajaan AS dalam kes itu selepas ditahan pada 2018. Dia dibenarkan kekal bebas selepas bersetuju membantu kerajaan dalam siasatan dan memberi keterangan terhadap bekas rakan sekerja, Roger Ng.

Ng mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat mengubah wang dan melanggar undang-undang antirasuah. Bekas ketua pelaburan untuk Goldman di Malaysia itu disabitkan bersalah di Brooklyn dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, tetapi dibawa ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan.

Menurut pemfailan pendakwa raya, Leissner menemui kerajaan berpuluh kali, meneliti banyak dokumen dan komunikasi diterimanya berkaitan skim 1MDB dan perkara lain.

“Kami menghormati keputusan mahkamah hari ini dan Leissner sedia menjalani hukuman serta meneruskan hidupnya,” kata peguamnya Henry Mazurek, rakan kongsi di Meister Seelig & Fein PLLC.

Pendakwa raya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih rendah susulan kerjasama diberikan Leissner dalam siasatan.

Satu-satunya kes jenayah terhadap Goldman

Leissner memberitahu mahkamah, dia hilang kebebasan, keluarga serta kebebasan kewangannya disebabkan skandal itu, selain kesihatannya turut terjejas dan terpaksa makan ubat serta hilang semangat untuk hidup.

Goldman menerusi surat kepada mahkamah pada 21 Mei lalu memaklumkan Leissner memperdaya rakan sekerjanya selama bertahun-tahun, yang akhirnya membawa kepada satu-satunya kes jenayah difailkan terhadap Goldman dalam sejarah 156 tahunnya.

Goldman membayar denda USD2.9 bilion pada 2020 di AS dan mengatur unit Malaysianya mengaku bersalah di mahkamah AS. Ia turut mengambil semula pampasan eksekutif sebanyak USD174 juta.

Najib didapati bersalah pada 2020 atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa kerana menerima dana diseleweng daripada 1MDB.

Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Hukuman itu kemudiannya dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong terdahulu.

Najib sedang menjalani hukumannya di penjara dan cuba memaksa pihak berkuasa membenarkannya menjalani baki hukuman di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.