Mahkamah Persekutuan AS sekat kebanyakan tarif import Trump

Mahkamah Persekutuan AS sekat kebanyakan tarif import Trump

Mahkamah Persekutuan AS memutuskan Donald Trump melangkaui kuasanya dengan pelaksanaan tarif timbal balas menyeluruh itu.

Donald Trump
Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif import ke atas kebanyakan rakan dagang pada 2 April lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) hari ini menyekat kebanyakan tarif import Donald Trump daripada berkuat kuasa atas alasan beliau melangkaui kuasanya dengan pelaksanaan levi global menyeluruh itu.

Keputusan itu merupakan halangan ketara buat pemimpin Republikan berkenaan dalam usahanya mengubah hubungan perdagangan AS dengan dunia, dengan memaksa kerajaan ke meja rundingan melalui pelaksanaan tarif baharu.

Perang perdagangan global Trump mengganggu pasaran kewangan dengan pelaksanaan tarif bagi menghukum ekonomi menjual lebih banyak kepada AS daripada yang mereka beli.

Trump mendakwa defisit perdagangan dan ancaman penyeludupan dadah menyebabkan “darurat nasional” yang mewajarkan tarif meluas dilaksanakan.

Tetapi, panel tiga hakim Mahkamah Perdagangan Antarabangsa menghalang kebanyakan sekatan diumumkan Trump sejak berkuasa Januari lalu.

Rumah Putih menyelar keputusan itu dengan mendakwa “hakim tidak dipilih” tiada hak campur tangan cara Trump menangani isu berkenaan.

“Presiden Trump berikrar mengutamakan Amerika dan pentadbiran komited menggunakan setiap kuasa eksekutif menangani krisis ini serta mengembalikan kehebatan Amerika,” kata jurucakap Trump, Kush Desai.

Kenyataan itu tidak menyebut sebarang tindakan undang-undang, walaupun banyak media AS melaporkan pentadbiran Trump sudah memfailkan rayuan.

Seorang pembantu Rumah Putih rapat dengan Trump, Stephen Miller bertindak kurang diplomatik menerusi media sosial dengan mengecam “rampasan kuasa kehakiman” yang didakwanya”di luar kawalan”.

Trump mendedahkan duti import menyeluruh ke atas kebanyakan rakan dagangan pada 2 April lalu, pada kadar asas 10%, ditambah levi lebih tinggi ke atas puluhan negara, termasuk China dan Kesatuan Eropah.

Keputusan itu turut membatalkan tarif dikenakan Trump ke atas Kanada, Mexico dan China secara berasingan menggunakan kuasa kecemasan.

Sebahagian kemelut itu reda selepas beliau mengumumkan penangguhan tarif selama 90 hari dan menggantung duti lain sementara menunggu rundingan dengan negara berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.