
Tiga hari selepas Israel mengumumkan bantuan terhad dibenarkan, PBB pada Rabu “menghimpun kira-kira 90 trak barangan dari persimpangan Kerem Shalom menuju Gaza,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam kenyataan.
Israel sebelum ini mengumumkan kemasukan trak kemanusiaan PBB – sarat dengan tepung, makanan bayi, bekalan perubatan dan barangan lain – tetapi tiada satu pun bekalan meninggalkan zon pemunggahan di persimpangan Kerem Shalom, di mana ia perlu dimuatkan semula ke trak lain di Semenanjung Gaza.
Dujarric berkata, pihak berkuasa Israel hanya membenarkan pasukan PBB “melalui sebuah kawasan sangat sesak yang kami rasakan tidak selamat dan kemungkinan besar berlaku rompakan disebabkan kekurangan berterusan di Gaza akibat sekatan Israel lebih 11 minggu”.
Tetapi, beliau berharap trak pertama dapat membawa bantuan itu ke gudang PBB sebelum diagihkan kepada penduduk Gaza yang berdepan ancaman kebuluran serius.
Isnin lalu, Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher menyifatkan trak yang dibenarkan memasuki Gaza hanya “setitik air dalam lautan berbanding keperluan sangat besar dan mendesak di Gaza”.
Ketika gencatan senjata selama 42 hari awal tahun ini, sebanyak 4,000 trak bantuan memasuki Gaza setiap minggu, menurut PBB.
Sebelum perang bermula 7 Okt 2023, kira-kira 500 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari.