AS, China setuju kurangkan tarif timbal balik selama 90 hari

AS, China setuju kurangkan tarif timbal balik selama 90 hari

AS turunkan tarif ke atas produk dari China daripada 145% kepada 30%, manakala China kurangkan tarif daripada 125% kepada 10%.

Perjanjian sementara AS dan China dilihat sebagai langkah paling signifikan dalam meredakan keterangan perdagangan. (Gambar Freepik)
GENEVA:
Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju melaksanakan pengurangan besar-besaran tarif timbal balik selama 90 hari sebagai langkah awal.

Ia sekali gus memberi kelegaan dalam konflik perdagangan berpanjangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dan meningkatkan harapan terhadap kestabilan ekonomi jangka panjang, menurut kenyataan bersama dikeluarkan AS pada Isnin.

Menurut Anadolu Ajansi, persetujuan itu dicapai susulan rundingan intensif hujung minggu lepas di Geneva, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju mengurangkan tarif ke atas barangan masing-masing secara signifikan, dengan AS menurunkan tarif ke atas produk dari China daripada 145% kepada 30%, manakala China mengurangkan tarif daripada 125% kepada 10% menjelang 14 Mei.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, mengumumkan kenyataan bersama itu pada sidang media di Geneva, Switzerland.

Walaupun bersifat sementara, perjanjian ini merupakan langkah paling signifikan dalam meredakan ketegangan perdagangan dalam beberapa tahun, sekali gus memberi kelegaan kepada pasaran global yang terjejas akibat ketidaktentuan berbulan-bulan.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua kerajaan mengiktiraf kepentingan mewujudkan hubungan perdagangan yang “mampan, berjangka panjang dan saling memanfaatkan”.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak akan melancarkan satu mekanisme dialog baharu bagi mengekalkan momentum rundingan, yang akan diketuai oleh Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, bersama Bessent dan Greer.

Rundingan akan datang boleh diadakan sama ada di China, AS atau negara ketiga bergantung kepada persetujuan bersama, manakala perbincangan teknikal peringkat lebih rendah akan diadakan mengikut keperluan.

Pengumuman mengejut ini dibuat selepas beberapa tahun pelaksanaan tarif timbal balik yang mengganggu rantaian bekalan global dan mencetuskan kebimbangan ekonomi.

Rundingan di Geneva bermula pada Sabtu lepas, susulan tindakan Presiden AS Donald Trump menaikkan tarif ke atas import dari China kepada 145%, yang dibalas oleh Beijing dengan tarif 125% ke atas barangan AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.