Perang tarif: China setuju bincang dengan AS

Perang tarif: China setuju bincang dengan AS

Sebarang dialog dan rundingan mesti dijalankan 'atas prasyarat saling menghormati, sama rata dan bagi tujuan sama-sama menang', menurut Beijing.

He Lifeng
Naib Perdana Menteri China He Lifeng akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berhubung perang tarif di Switzerland. (Gambar EPA Images)
BEIJING:
Naib Perdana Menteri China He Lifeng sebagai ketua perwakilan pihak China dalam hal ehwal ekonomi dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam rangka lawatannya ke Switzerland dari 9 hingga 12 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Kementerian Perdagangan China pada hari ini, susulan pengumuman Kementerian Luar.

“Baru-baru ini, pucuk pimpinan AS bertalu-talu memberi isyarat tentang pihaknya mahu mengubahsuai langkah tarif serta menyampaikan mesej kepada China melalui pelbagai saluran dengan harapan mengadakan perbincangan dengan China mengenai isu-isu meliputi tarif,” katanya.

“Setelah mengadakan penilaian dengan teliti mesej daripada pihak AS, membuat pertimbangan penuh terhadap harapan masyarakat antarabangsa dan kepentingan China, serta suara daripada sektor korporat dan kalangan pengguna AS, China memutuskan memulakan komunikasi dengan pihak AS.”

Katanya, China konsisten dalam melindungi kepentingan pembangunan negaranya, menegakkan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa serta memelihara orde ekonomi dan perdagangan antarabangsa, baik ketika menghadapi ‘perang tarif’ mahupun dalam rundingan.”

Tambahnya, sebarang dialog dan rundingan mesti dijalankan ‘atas prasyarat saling menghormati, sama rata dan bagi tujuan sama-sama menang’.

China juga berkata, pihaknya bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya AS ‘bercakap kosong’ atau menggunakan rundingan sebagai alat mendapatkan kehendaknya secara unilateral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.