
Minggu lalu, presiden pertama Brazil yang dipilih secara demokratik itu selepas pemerintahan diktator selama beberapa dekad, mula menjalani hukuman penjara sembilan tahun kerana menerima rasuah ketika menjadi senator antara 2010 dan 2014.
Lelaki 75 tahun itu, yang menghidap penyakit Parkinson, disabitkan bersalah menerima rasuah 20 juta reais (USD3.5 juta) untuk mengatur kontrak antara syarikat pembinaan dan bekas anak syarikat minyak negara Brazil, Petrobras.
Dia dipenjarakan di penjara di bandar timur laut Maceio. Dia mempunyai rumah di sana.
Peguamnya memohon dia dibenarkan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes yang mengarahkannya ke penjara, bersetuju dengan permintaan itu disebabkan “keadaan kesihatan serius Collor…umurnya dan memerlukan rawatan khas”.
Moraes memerintahkan Collor menyerahkan pasportnya dan memakai gelang buku lali elektronik.
Collor meletak jawatan sebagai presiden pada 1992, kurang tiga tahun berkuasa untuk mengelak Parlimen mengambil tindakan mendakwanya kerana rasuah.
Dia bukan bekas pemimpin Brazil pertama yang melanggar undang-undang.
Bekas presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro diarah dibicarakan atas dakwaan komplot rampasan kuasa selepas kalah dalam pilihan raya 2022.
Bekas presiden sayap kiri, Luiz Inacio Lula da Silva yang berkhidmat selama dua penggal antara 2003 dan 2010, dipenjarakan setahun setengah kerana menerima rasuah dan pengubahan wang sebelum sabitannya dibatalkan serta berkhidmat untuk penggal ketiga pada Oktober 2022.