
Kejadian itu berlaku selepas pelancong terbabit mengemukakan pasport Israel di kaunter pendaftaran, sebelum seorang kakitangan hotel menyerahkan borang menyatakan pengisytiharan itu syarat wajib untuk penginapan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Ynetnews pada Sabtu.
Pelancong itu yang juga bekas paramedik tempur simpanan Tentera Laut Israel pada awalnya enggan menandatanganinya, namun akhirnya akur selepas dimaklumkan semua tetamu dari Israel dan Rusia dikehendaki berbuat demikian.
Menurut kandungan pengisytiharan itu, tetamu perlu membuat pengakuan tidak pernah melakukan jenayah perang seperti menyerang orang awam, keganasan seksual, penyeksaan atau sebarang perbuatan melanggar Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Dokumen itu juga memerlukan komitmen untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan berikrar tidak terbabit jenayah perang pada masa depan.
Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen mengutus surat protes kepada Gabenor Kyoto, Takatoshi Nishiwaki, menyifatkan tindakan hotel itu “tidak boleh diterima”.
Tetapi, pengurus hotel mempertahankan keperluan itu dan memberitahu Ynetnews bahawa langkah berkenaan dianggap wajar.
“Bagi kami, perang adalah sesuatu yang jauh dan kami tidak pernah bertemu individu yang membunuh wanita dan kanak-kanak serta mengebom sekolah.”
Kejadian sama dilaporkan berlaku di sebuah lagi hotel di Kyoto pada Jun tahun lalu.