
“Ukraine yang dipimpin Volodymyr Zelensky belum menandatangani dokumen akhir perjanjian nadir bumi yang sangat penting dengan AS.
“Ia sudah tertangguh sekurang-kurangnya tiga minggu,” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social, ketika dalam perjalanan ke Rom bagi menghadiri pengebumian Paus.
Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai perjanjian itu minggu lalu.
Dokumen itu menyatakan teks penuh perjanjian akhir sepatutnya dimuktamadkan selewat-lewatnya 26 April.
Setakat ini, belum jelas sama ada pemeteraian akan berlaku pada tarikh ditetapkan atau apakah status terkini perjanjian itu.
Perjanjian itu bertujuan memberi AS akses kepada sumber mineral Ukraine, khususnya unsur nadir bumi yang penting dalam industri berteknologi tinggi.
Bagi pihak Ukraine, perjanjian berkenaan dilihat peluang mengukuhkan hubungan perlindungan jangka panjang dengan Washington – namun pentadbiran Trump belum memberi komitmen rasmi dalam hal itu.
MoU itu turut menekankan bantuan kewangan dan material penting yang disalurkan AS kepada Ukraine sejak pencerobohan penuh Rusia pada 2022, memberi isyarat Kyiv mungkin perlu menggunakan mineral kritikal sebagai timbal balik.
Percubaan awal untuk memeterai kerangka perjanjian pada akhir Februari gagal selepas Trump dan Naib Presidennya, JD Vance bertelagah dengan Zelensky di Rumah Putih.