
Pemergiannya menamatkan kepimpinan yang sering kali bergolak, berdepan dengan perpecahan dan ketegangan ketika beliau berusaha untuk merombak institusi itu.
Paus Francis berusia 88 tahun dan baru-baru ini terselamat daripada pneumonia yang serius.
“Kepada saudara dan saudari sekalian, dengan penuh dukacita saya umumkan pemergian Bapa Suci kita, Paus Francis,” kata Kardinal Kevin Farrell dalam siaran di saluran rasmi Vatican.
Paus Francis menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.35 pagi waktu tempatan di kediamannya di Casa Santa Marta, Vatican City, akibat komplikasi daripada jangkitan pneumonia baru-baru ini.
Dilahirkan sebagai Jorge Mario Bergoglio di Buenos Aires, Argentina pada 1936, beliau merupakan paus pertama dari Jesuit dan juga paus bukan Eropah pertama dalam lebih seribu tahun apabila dilantik pada 13 Mac 2013.
Kepimpinannya dikenali dengan pelbagai pembaharuan progresif, termasuk memperjuangkan nasib golongan miskin, menangani isu perubahan iklim, serta menyeru kepada keterangkuman dalam Gereja.
Beliau juga mengambil langkah penting dalam menangani skandal penderaan seksual dalam gereja dan menyatakan sokongan terhadap penyatuan sivil bagi pasangan sejenis.