
Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 April.
Dalam kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, Presiden Tharman Shanmugaratnam membubarkan Parlimen pada Selasa, atas nasihat Perdana Menteri Lawrence Wong.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pemilihan 97 Ahli Parlimen, berbanding 93 sebelum ini, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya.
Lebih 2.75 juta rakyat Singapura layak mengundi pada PRU akan datang.
Sementara itu, Wong berkata, keputusan mengadakan pilihan raya umum itu dibuat bagi membolehkan rakyat Singapura menentukan pasukan yang akan menerajui negara pada saat genting ketika dunia sedang mengalami perubahan besar.
“Keadaan dunia semakin tidak menentu, tidak stabil dan bergolak. Keadaan global yang telah membolehkan kejayaan Singapura selama beberapa dekad mungkin tidak lagi kekal.
“Itulah sebabnya saya mengadakan PRU ini. Pada detik kritikal ini, rakyat Singapura wajar menentukan pasukan yang akan memimpin negara dan merancang hala tuju kita bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ini merupakan pilihan raya pertama buat Wong sebagai perdana menteri dan setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Wong mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura pada Mei tahun lepas, menggantikan Lee Hsien Loong. Beliau kemudian dilantik sebagai pemimpin parti pada Disember.
Minggu lepas, Wong mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee bersama barisan penyandang sedia ada, iaitu Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Datuk Bandar Daerah Barat Laut Alex Yam, dan Hany Soh di GRC empat anggota itu.