
Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan berhimpun di daerah Murshidabad pada Jumaat.
Tiga maut, termasuk seorang kanak-kanak, kata polis kepada AFP semalam.
“Setakat ini, 118 orang ditahan berhubung keganasan itu,” kata Jawed Shamim, pegawai kanan polis di negeri itu, sambil menambah sekurang-kurangnya 15 anggota polis cedera.
Mahkamah Tinggi di negeri itu mengarahkan tentera persekutuan dikerahkan.
Rang undang-undang (RUU) pindaan wakaf yang mencetuskan bantahan diluluskan awal bulan ini selepas perbahasan hangat.
Menurut pemerintah nasionalis Hindu, ia akan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan tanah dengan mempertanggungjawabkan lembaga wakaf, yang mengawal harta diwakafkan umat Islam.
Tetapi, pembangkang menyifatkan RUU itu “serangan” polarisasi ke atas minoriti Islam di India.
Mereka mendakwa Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi cuba memenangi hati penyokong Hindu sayap kanannya.
Selepas RUU itu diluluskan, Modi menyifatkannya “detik bersejarah”.
Ketua Parti Kongres Pembangkang, Rahul Gandhi, berkata RUU itu “ditujukan kepada umat Islam hari ini, tetapi menjadi contoh untuk menyasarkan masyarakat lain kelak”.
Dekad Modi sebagai perdana menteri menyaksikan beliau memupuk imej sebagai juara agresif kepercayaan majoriti Hindu di negara itu.
Kerajaannya membatalkan autonomi Kashmir, wilayah majoriti Islam di India, dan menyokong pembinaan sebuah kuil atas alasan sebuah masjid wujud selama berabad sebelum dirobohkan penganut Hindu pada 1992.