
Kajian pertama seumpamanya dijalankan atas permintaan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kesejahteraan turut mendedahkan kebanyakan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai prosedur tetap untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut, termasuk tempoh sebelum pembakaran dilakukan.
Daripada kajian membabitkan kira-kira 1,160 pihak berkuasa tempatan, hanya 11.3% menyatakan mereka mempunyai garis panduan, manakala 43.5% mengakui tiada prosedur khusus. Sebahagian lagi memaklumkan meskipun tidak mempunyai peraturan sendiri, mereka merujuk kepada amalan di kawasan lain.
Pihak berkuasa juga berdepan kebimbangan terhadap kemungkinan waris tampil menuntut mayat selepas proses pembakaran selesai dijalankan.
Sebanyak 41,969 mayat tidak dituntut itu — sama ada yang dikenal pasti atau tidak — mewakili 2.7% daripada keseluruhan kematian di Jepun sepanjang 2023.
Keperluan terhadap satu sistem yang menyeluruh untuk menguruskan perkara ini semakin mendesak, dengan jumlah kes dijangka meningkat dalam tahun mendatang.
Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan meramalkan menjelang 2050, sebanyak 23.3 juta daripada 52.6 juta isi rumah di Jepun, atau 44.3% akan terdiri daripada isi rumah berseorangan.
Antara pihak berkuasa tempatan yang sudah mempunyai sistem, bandar Yokosuka berhampiran Tokyo memulakan program pada 2015 bagi membantu warga emas berpendapatan rendah yang tidak mempunyai tanggungan untuk membuat kontrak dengan rumah mayat.
Bawah program itu, pihak bandar akan memantau kesejahteraan mereka dan menghubungi pihak berkaitan sekiranya berlaku kematian.
“Bilangan kes yang tiada keluarga untuk menguruskan pengebumian akan terus meningkat. Adalah penting untuk pihak berkuasa tempatan mewujudkan sistem yang menghormati maruah dan hasrat penduduk,” kata Kazuyuki Kitami, seorang pegawai kebajikan di bandar itu.