China kecam tarif automotif AS langgar peraturan WTO

China kecam tarif automotif AS langgar peraturan WTO

Kementerian Luar China berkata tiada pihak akan menang dalam perang dagang susulan tarif 25% dikenakan pentadbiran Donald Trump.

Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif 25% ke atas semua kenderaan dan alat ganti automotif buatan luar negara diimport ke AS. (Gambar AP)
BEIJING:
Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas import automotif melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan menjejaskan sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan, kata jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun, menurut Xinhua.

Kenyataan Guo itu dibuat susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan tarif 25% ke atas semua kenderaan dan alat ganti automotif buatan luar negara yang diimport ke AS.

Menurut laporan, tarif ke atas kenderaan itu akan berkuat kuasa minggu depan, satu langkah mencetuskan kebimbangan dalam industri automotif global.

“China mengambil maklum reaksi daripada rakan dagang utama AS,” kata Guo dalam sidang media berkala, sambil menegaskan tiada pihak yang akan menang dalam peperangan perdagangan atau tarif, dan kemajuan serta kemakmuran sesebuah negara tidak boleh dicapai melalui tindakan mengenakan tarif.

“Tindakan AS ini melanggar peraturan WTO, menjejaskan sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan dan merugikan kepentingan bersama semua negara. Langkah sedemikian tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi Washington,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.