Cuba bakar tudung dipakai wanita Muslim, suspek ditahan

Cuba bakar tudung dipakai wanita Muslim, suspek ditahan

Wanita itu hambur kata-kata kesat dan cuba menanggalkan tudung mangsa dalam kejadian di Toronto.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kebangsaan Muslim Kanada, Stephen Brown, berkata sesuatu yang mengejutkan apabila keganasan serangan ke atas Muslim semakin kerap berlaku. (Gambar AFP)
TRENTON:
Seorang suspek ditahan sehari selepas seorang wanita Muslim diserang di sebuah perpustakaan awam berhampiran bandar Toronto, Kanada, dengan penyerang cuba membakar tudung mangsa, menurut kenyataan polis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“(Mangsa) sedang belajar di perpustakaan ketika didekati seorang wanita tidak dikenali. Wanita itu mula menghamburkan kata-kata kesat dan melontar objek ke arah kepala mangsa.

“Suspek kemudian cuba menanggalkan tudung mangsa sambil menuangkan cecair yang tidak dapat dikenal pasti ke atasnya. Suspek juga mengambil pemetik api dan cuba membakar tudung itu,” menurut kenyataan Polis Wilayah Durham.

Mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum kakitangan keselamatan perpustakaan campur tangan. Polis menyatakan suspek melarikan diri tetapi berjaya ditangkap beberapa jam kemudian.

Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM) dalam kenyataan akhbar menyatakan mereka “terkejut” dengan insiden itu.

“Adalah sesuatu yang mengejutkan apabila keganasan seperti ini semakin kerap berlaku dalam komuniti kita.

“Kejadian Islamofobia meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Stephen Brown.

“Sudah tiba masanya pemimpin yang dipilih mengambil tindakan dan menangani isu ini secara bersama,” tambahnya.

Datuk Bandar Ajax, Shaun Collier dan Pengerusi Lembaga Perpustakaan, Piyali Correya, mengeluarkan kenyataan bersama di laman web bandar itu.

“Kepada mangsa serangan keji ini dan sesiapa yang terkesan, terluka, atau kecewa dengan insiden ini – terutamanya kerana ia berlaku dalam bulan Ramadan, bulan keamanan dan hubungan spiritual – kami sedia menyokong anda dan menentang semua bentuk kebencian serta sikap tidak bertoleransi.”

Brown berkata, NCCM telah meminta polis menyiasat insiden itu sebagai jenayah kebencian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.