Serangan Israel bunuh 170 kanak-kanak Gaza, kata PBB

Serangan Israel bunuh 170 kanak-kanak Gaza, kata PBB

Serangan udara bermula Selasa turut korbankan 80 wanita dengan jumlah keseluruhan terbunuh setakat Rabu melebihi 400.

Gaza AP 180325
Agensi PBB berkata pasukan penyelamat dilapor tidak dapat mengakses ramai mangsa akibat kekurangan peralatan, bahan api, dan jentera berat. (Gambar AP)
NEW YORK:
Lebih 170 kanak-kanak terbunuh semasa serangan pendudukan Israel di Semenanjung Gaza sejak awal pagi Selasa, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Dalam kenyataan di laman web, OCHA memaklumkan bahawa pada Rabu, jumlah keseluruhan orang awam terkorban akibat serangan itu melebihi 400, termasuk lebih 170 kanak-kanak dan 80 wanita.

Pasukan penyelamat dan paramedik dilaporkan tidak dapat mengakses ramai mangsa akibat kekurangan peralatan, bahan api, dan jentera berat.

OCHA turut menyatakan bahawa hanya empat hospital medan beroperasi sepenuhnya di kawasan itu, manakala 22 hospital dan enam hospital medan beroperasi secara separa.

Sebanyak 13 hospital dan empat hospital medan telah berhenti beroperasi sepenuhnya kerana kemusnahan serta kekurangan kakitangan perubatan dan ubat-ubatan.

Pejabat itu turut memetik kenyataan Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya yang menyifatkan situasi semasa sebagai “malapetaka” dengan pihaknya menerima ramai mangsa.

Agensi itu memberi amaran lebih sejuta penduduk di Gaza berdepan kekurangan makanan teruk sekiranya penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan berkenaan tidak disambung semula. Mereka juga berisiko tidak menerima catuan makanan pada Mac jika penghantaran ke Gaza tidak diteruskan.

Bekalan makanan yang ada di Semenanjung Gaza semakin berkurangan dengan cepat, dan bagi menangani situasi itu, rakan kongsi PBB terpaksa mengurangkan secara drastik bantuan makanan, menggantung pengagihan tepung dan makanan segar, serta mengurangkan kuantiti hidangan panas di dapur awam.

OCHA turut memberi amaran bahawa jika keadaan itu berterusan, sekurang-kurangnya 80 daripada 170 dapur awam di Gaza akan terpaksa ditutup dalam masa satu atau dua minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.