
Menurut Kementerian Penerangan Somalia, konvoi presiden diserang kira-kira 10.32 pagi waktu tempatan (0732 GMT) di daerah Xamar-Jajab, Mogadishu.
Ketika kejadian, Mohamud dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mogadishu untuk menyertai pasukan tentera di barisan hadapan di negeri Hirshabelle.
“Serangan itu berjaya dipatahkan dan presiden tiba di destinasinya dengan selamat seperti dirancang,” menurut kenyataan Kementerian Penerangan Somalia.
Ia mengecam serangan itu yang menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam tidak bersalah, sambil menyifatkannya tanda kumpulan al-Shabaab putus asa selepas mengalami kekalahan berturut-turut di tangan Tentera Nasional Somalia.
Pihak berkuasa mula menyiasat serangan itu.
“Dengan perpaduan rakyat dan sokongan rakan antarabangsa, kami akan memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan untuk Somalia,” kata kementerian itu.
Penasihat keselamatan negara kepada Presiden, Hussien Sheikh Ali menegaskan presiden dalam keadaan selamat dan meneruskan program rasminya.
Kumpulan al-Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.