
“Ukraine menyatakan kesediaan menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan gencatan senjata sementara 30 hari serta-merta yang boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama pihak terlibat, dan tertakluk kepada penerimaan serta pelaksanaan serentak oleh Rusia,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan selepas perbincangan di Jeddah.
Menurutnya, kedua-dua negara mengambil langkah penting memulihkan “keamanan berkekalan” untuk Ukraine, dan Washington akan menyampaikan kepada pihak Rusia keperluan timbal balas Moscow dalam mencapai penyelesaian.
Katanya, AS akan segera menarik sekatan terhadap perkongsian maklumat perisikan dengan Ukraine serta menyambung semula bantuan keselamatan kepada Kyiv.
Menurut kenyataan itu, semasa perbincangan, delegasi Ukraine menegaskan rakan Kyiv di Eropah harus terlibat dalam proses perdamaian.
“Kedua-dua delegasi bersetuju menamakan pasukan perunding mereka dan segera memulakan rundingan ke arah perdamaian berpanjangan yang menyediakan keselamatan jangka panjang untuk Ukraine,” katanya sambil menekankan kepentingan usaha bantuan kemanusiaan sebagai sebahagian proses perdamaian, khasnya semasa gencatan senjata dicadangkan.
“Kedua-dua presiden negara itu bersetuju merangka perjanjian komprehensif secepat mungkin untuk membangunkan sumber mineral kritikal Ukraine bagi memperluaskan ekonominya dan menjamin kemakmuran serta keselamatan jangka panjang negara itu.”
Pertemuan delegasi AS dan Ukraine berlangsung sehari selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy tiba di negara Teluk itu, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.