Bangkai jet pejuang Filipina, mayat 2 kru ditemui

Bangkai jet pejuang Filipina, mayat 2 kru ditemui

Francisco Garello dari Divisyen Infantri ke-4 berkata usaha membawa mayat dua kru turun dari lereng gunung menjadi keutamaan ketika ini.

Sebuah pesawat pejuang FA-50 Tentera Udara Filipina, seperti dalam gambar, dilaporkan terhempas di Gunung Kalatungan ketika memberi sokongan udara kepada tentera memerangi pemberontak di utara Mindanao. (Gambar Wikipedia)
MANILA:
Pasukan mencari dan menyelamat Filipina menemui bangkai pesawat pejuang FA-50 hilang dan mayat dua kru di kawasan pergunungan selatan negara itu.

Pesawat itu hilang ketika menyertai misi untuk memberikan sokongan udara kepada tentera memerangi pemberontak komunis di utara Mindanao.

Komander Kawasan Mindanao Timur, Luis Rex Bergante memberitahu AFP, dua kru ditemui dalam bangkai jet itu.

“Mayat ditemui dalam pesawat. Terdapat cubaan membuka payung terjun dan melenting keluar dari pesawat,” katanya sambil menambah jet itu musnah selepas merempuh pokok di atas gunung.

Francisco Garello dari Divisyen Infantri ke-4 memberitahu AFP, bangkai jet itu ditemui di Gunung Kalatungan, gunung kelima tertinggi di Filipina yang terletak di wilayah Bukidnon, Mindanao.

Bergante berkata, usaha membawa mayat kru turun dari lereng gunung menjadi keutamaan ketika ini dan punca nahas sedang disiasat.

Semalam, jurucakap Tentera Udara Filipina, Consuelo Castillo dilaporkan berkata, ia “insiden besar pertama membabitkan” pesawat FA-50 yang sebelum ini digunakan dalam latihan di Laut China Selatan dipertikaikan.

Filipina mempunyai 12 pesawat pejuang FA-50 yang dibeli dari Korea Selatan dalam dekad lalu.

Pesawat itu sedang menyertai rondaan udara bersama sekutu Amerika Syarikat di Laut China Selatan dipertikaikan, di mana China dan Filipina terbabit konfrontasi semakin tegang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.