
Jet itu terputus hubungan dengan pesawat pejuang lain dalam penerbangan “beberapa minit sebelum tiba di kawasan sasaran”, kata Tentera Udara Filipina (PAF) dalam kenyataan.
Jurucakap PAF, Consuelo Castillo memberitahu wartawan, ini “insiden besar pertama membabitkan” pesawat FA-50nya, yang sebelum ini digunakan dalam latihan di Laut China Selatan dipertikaikan.
Filipina mempunyai 12 pesawat pejuang yang dibeli dari Korea Selatan dalam dekad lalu.
Castillo berkata, jet itu dalam penerbangan ke kawasan sasaran apabila ia hilang dalam “operasi malam taktikal untuk menyokong tentera darat kami”.
Beliau enggan menjelaskan sifat atau lokasi sebenar misi itu, yang menyaksikan jet terbabit berlepas dari Pangkalan Udara Mactan–Benito Ebuen.
Pangkalan itu berkongsi landasan dengan lapangan terbang di Cebu, bandar kedua terbesar di Filipina.
“Kami berharap dapat mengesan pesawat dan kru terbabit dan kami masih sangat optimis mereka selamat.”
PAF dalam kenyataan berkata, ia “menjalankan operasi pencarian meluas dan menyeluruh, menggunakan semua sumber yang ada untuk mengesan pesawat pejuang hilang itu”.
FA-50 itu menyertai rondaan udara bersama sekutu Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan dipertikaikan, di mana China dan Filipina terbabit konfrontasi semakin tegang.
Beijing menuntut hampir keseluruhan laluan air penting itu, yang menyaksikan perdagangan trilion dolar diangkut setiap tahun, walaupun Hague memutuskan dakwaan itu tiada asas undang-undang.
Media tempatan Inquirer melaporkan kerajaan Filipina sedang mempertimbangkan membeli 12 lagi FA-50 pada Januari lalu.