2 menteri Singapura saman Bloomberg

2 menteri Singapura saman Bloomberg

Artikel itu turut menyebut mengenai urus niaga hartanah melibatkan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.

Dua menteri Singapura, Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam (kiri) dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, fail saman fitnah terhadap Bloomberg.
SINGAPURA:
Dua menteri Singapura telah memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung artikel diterbitkan pada Disember tahun lalu, lapor media tempatan.

Pengurusan kes menteri undang-undang merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng terhadap syarikat media itu serta wartawan yang menulis artikel berkenaan, Low De Wei, ditetapkan di Mahkamah Agung pada 3 Mac.

Sebelum ini, kedua-dua menteri berkenaan telah menyatakan bahawa mereka akan mengeluarkan surat tuntutan berkaitan artikel terbabit.

Artikel bertajuk “Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy”, yang diterbitkan pada 12 Dis 2024, melaporkan bagaimana golongan ultra kaya di Singapura secara tertutup membeli rumah agam atau ‘Good Class Bungalows’ (GCB) di negara itu.

Artikel itu turut menyebut mengenai urus niaga hartanah melibatkan kedua-dua menteri berkenaan.

Artikel itu kemudian dikenakan ‘arahan pembetulan’ di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) Singapura.

Semasa menyiarkan notis pembetulan, Bloomberg menyatakan bahawa mereka “tidak bersetuju dengan arahan itu, dan berhak untuk merayu serta mencabarnya,” serta menegaskan bahawa mereka mempertahankan laporan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.