
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Guilford sejurus sebelum 5 pagi (1800 GMT Isnin), menurut pihak berkuasa New South Wales (NSW).
Polis NSW berkata, lima penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi ditemukan di dalam rumah.
Mangsa yang belum dikenal pasti secara rasmi itu dibawa keluar dari rumah namun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut perkhidmatan kecemasan.
Bomba dan Penyelamat NSW berkata, penyiasat memberi tumpuan kepada bateri basikal elektrik yang sedang dicas sebagai punca kebakaran tersebut.
Pakar forensik yang memeriksa lokasi kejadian mendapati ‘pengecas yang tidak sesuai digunakan untuk mengecas bateri basikal elektrik di bilik tidur pada masa kebakaran’, kata bomba dalam kenyataan.
Menurut bomba, penyiasat percaya ‘bateri itu tidak dapat menyerap tenaga yang dijana oleh pengecas dan terlebih panas, mungkin menyebabkan kebakaran’.
Tambahnya, basikal penghantaran makanan itu ditemukan di luar rumah tersebut.
Penyiasat kebakaran NSW Chris Hughes berkata, pada masa kebakaran, rakaman CCTV menunjukkan api keluar dari tingkap bilik tersebut, dengan ‘nyalaan seperti jet yang terhasil daripada bateri lithium-ion’.