China kenakan tarif tambahan ke atas barangan AS mula Isnin

China kenakan tarif tambahan ke atas barangan AS mula Isnin

Tarif 15% dikenakan ke atas arang batu dan LNG dan 10% antaranya terhadap minyak mentah, jentera tani, dan trak pikap.

Langkah diambil Beijing sebagai tindak balas keputusan Washington mengenakan peningkatan tarif barangan dari negara Tembok Besar itu. (Gambar EPA Images)
BEIJING:
China akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 15% ke atas arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS) serta 10% ke atas beberapa barangan lain dari negara itu bermula Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Terdahulu, Beijing mengumumkan bahawa tarif tambahan akan dikenakan terhadap beberapa barangan import dari AS mulai 10 Feb termasuk 15% ke atas LNG dan 10% ke atas minyak mentah, jentera pertanian, kenderaan berkapasiti besar serta trak pikap.

Langkah ini diambil susulan tindakan serupa oleh Washington.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan dari Kanada, Mexico, dan China. Tarif tambahan 10% turut dikenakan ke atas barangan dari China, selain yang telah dikuat kuasa sebelum ini.

Perintah itu juga membatalkan peraturan “de minimis”, yang sebelum ini membenarkan barangan bernilai kurang daripada USD800 diimport ke AS tanpa dikenakan tarif.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Pemasaran Antarabangsa di Kementerian Perdagangan China, Bai Ming memberitahu Sputnik/RIA Novosti bahawa pusingan baharu perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia “sudah bermula”.

Menurut Bai Ming, tindakan balas yang diambil Beijing bertujuan menyasarkan sektor utama ekonomi AS dan meminimumkan kesan terhadap China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.