Bancuh alkohol tulen dengan minuman perisa, 8 maut di Indonesia

Bancuh alkohol tulen dengan minuman perisa, 8 maut di Indonesia

Mangsa sebelum itu mengalami sakit dada, pening, dan loya akibat minum alkohol tulen berkepekatan 96%.

Mangsa menelan alkohol bukan gred makanan, yang lazimnya digunakan bagi kegunaan luaran seperti pembasmi kuman. (Gambar Rawpixel)
JAKARTA:
Lapan maut, manakala empat lagi kritikal selepas minum alkohol tulen dengan kepekatan 96% di Cianjur, Jawa Barat, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ketua Polis Mande Dadeng, berkata mangsa terselamat dari Kampung Kademangan kini menerima rawatan rapi di hospital berhampiran.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa menelan alkohol bukan gred makanan, yang lazimnya digunakan untuk kegunaan luaran seperti pembasmi kuman.

Menurut laporan portal berita tempatan ‘Kompas’, pihak berkuasa belum dapat menyoal siasat mangsa terselamat kerana dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.

Insiden berlaku ketika kumpulan terbabit memutuskan untuk mencuba minuman alkohol tulen minggu lalu dengan membuat pesanan dalam talian.

Alkohol itu kemudiannya dicampur dengan minuman berperisa, namun sejurus selepas meminumnya, mereka mengalami sakit dada, pening, dan loya.

Mangsa kemudian pulang ke rumah masing-masing, tetapi keadaan bertambah buruk hingga menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia pada petang Jumaat.

Angka kematian meningkat kepada lapan menjelang Sabtu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.