
“Pasukan bersenjata Ukraine cuba melancarkan serangan dron ke atas sasaran di wilayah itu, termasuk kemudahan minyak dan tenaga,” kata Igor Babushkin, gabenor Astrakhan di selatan Rusia menerusi Telegram.
“Dron yang jatuh menyebabkan kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.”
Babushkin tidak menyatakan kemudahan apa yang terbakar. Baza, saluran Telegram berita Rusia yang rapat dengan perkhidmatan keselamatan Rusia berkata, Ukraine menyerang sebuah loji pemprosesan gas dekat Astrakhan.
Badan pemerhati penerbangan Rusia, Rosaviatsia berkata, ia menggantung penerbangan dari lapangan terbang Astrakhan, Kazan, Nizhnekamsk, Saratov dan Ulyanovsk untuk memastikan keselamatan udara.
Terdahulu, Rosaviatsia menggantungpenerbangan dari lapangan terbang Volgograd di selatan Rusia, tetapi penerbangan ke sana disambung semula, katanya di Telegram.
Tiada laporan rasmi mengenai serangan ke atas Volgograd, tetapi Baza dan saluran Telegram berita Rusia lain melaporkan serangan besar dron menyasarkan sebuah kilang penapisan minyak.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan Baza. Tiada komen segera dari Ukraine.
Sebelum ini, Kyiv dilaporkan berkata, serangannya di Rusia bertujuan memusnahkan kemudahan tenaga, ketenteraan dan pengangkutan yang penting terhadap usaha perang Moscow.
Presiden Volodymyr Zelensky berkata, ia juga tindak balas terhadap pengeboman berterusan Rusia di Ukraine sejak pencerobohan berskala penuh Moscow mulai Februari 2022.