Lima dihukum mati kerana rogol, bunuh di India

Lima dihukum mati kerana rogol, bunuh di India

Lima lelaki itu merogol dan membunuh kejam seorang remaja selain membunuh bapa dan anak saudara perempuannya yang masih kecil.

INDIA PROTEST
Purata 90 kes rogol sehari dilaporkan di India pada 2022. (Gambar EPA Images)
RAIPUR:
Mahkamah di India menjatuhi hukuman mati terhadap lima lelaki kerana merogol dan membunuh kejam seorang remaja selain membunuh bapa dan anak saudara perempuannya yang masih kecil.

Dalam kejadian pada Januari 2021 itu, lelaki berkenaan menawarkan mangsa dan keluarganya – dari kasta rendah di Chhattisgargh – menaiki motosikal mereka ketika keluarga itu menunggu pengangkutan awam.

Mereka kemudian memukul bapa remaja itu sehingga mati ketika lelaki malang itu cuba menghalang mereka merogol mangsa, sebelum membunuh anak saudara perempuan mangsa yang hanya berusia tiga tahun, menurut pendakwa Sunil Kumar Mishra kepada AFP.

Mangsa terakhir ditemui tidak sedarkan diri oleh orang kampung beberapa hari kemudian sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Lima lelaki didapati bersalah dan dihukum mati, menurut Mishra hari ini, sehari selepas mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan.

Seorang lagi lelaki “didapati bersalah berkait dengan jenayah itu, tetapi tidak dapat dikaitkan dengan kejadian rogol berkenaan. Sehubungan itu hukumannya adalah penjara sepanjang sepanjang hayat kerana kematian mangsa,” katanya.

Purata 90 rogol sehari dilaporkan pada 2022 di negara dengan 1.4 bilion penduduk itu. Bagaimanapun, aktivis berkata banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Mahkamah di Kolkata menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup minggu ini selepas didapati bersalah merogol dan membunuh seorang doktor berusia 31 tahun, tahun lalu.

Dalam kes itu, mayat mangsa ditemui berlumuran darah di sebuah hospital pada Ogos dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan dan protes orang ramai terhadap keganasan terhadap wanita.

Minggu lalu, lebih empat dozen lelaki ditahan kerana berulang kali menyerang seorang remaja secara seksual, yang mendakwa menjadi sasaran 60 lelaki di Kerala sejak beberapa tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.